“Beranikah kita berkata bahawa kehidupan anak-anak hari ini jauh lebih mudah daripada kehidupan ibu bapa, jika kita sedar bahawa setiap hari kita semakin menghampiri detik-detik fitnah Dajjal?” saya melontarkan soalan kepada seorang teman.
Wajahnya berubah sedikit.
Fitnah Dajjal itu bukan pada kekuatan fizikalnya memusnahkan kehidupan seperti Yakjuj dan Makjuj.
Fitnah Dajjal adalah fitnah intelektual. Sesuatu yang sangat abstrak pada menukar baik menjadi buruk dan buruk menjadi baik.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””. Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)
ANTARA MA’RUF DAN MUNKAR
“Ma’ruf menjadi munkar dan munkar menjadi ma’ruf?” tanya beliau.
“Ya. Ma’ruf bermaksud sesuatu yang well-known. Benda yang diterima dan menjadi kebiasaan. Munkar pula bermaksud sesuatu yang dibantah dan dinafikan kerana asingnya benda itu daripada kehidupan” saya memetik pengertian dua kalimah yang sangat penting itu.
“Wah, perkataan itu sangat tangible. Mudah sahaja ma’ruf bertukar menjadi munkar dan munkar menjadi ma’ruf kalau kejahatan sudah diterima dan kebaikan semakin asing daripada kehidupan” simpul beliau.
“Allahu Akbar. Benar sekali. Justeru berbalik kepada soalan awal kita, apakah yang nak kita tanamkan dalam jiwa anak-anak untuk mendepani fitnah yang besar ini?” saya berbalik ke topik asal perbualan.
Pendidikan anak-anak
Menyedari akan hal ini, saya membuat kesimpulan, pendidikan agama yang menekankan hafalan Sifat 20, menghafal rukun Iman, menekankan hafalan lengkap 30 juzuk al-Quran, mengejar mata pencapaian peperiksaan pada belasan subjek akademik dan Diniyyah, bukan suatu jaminan keselamatan untuk menghantar anak ke masa depan yang penuh cabaran itu. Silibus sedia ada pada kebanyakan sekolah masih belum meyakinkan saya.
Mengukir agama pada jiwa anak-anak memerlukan satu proses yang tidak ada pada silibus sedemikian rupa. Justeru perjalanan hidup saya masih meneroka jalan keluarnya, mencari penyelesaiannya.
Terkenang kepada pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang pendinding yang menyelamatkan manusia daripada fitnah intelektual Dajjal yang terzahir pada Materialisma.
Materialisma bukan gila kebendaan semata.
Ia adalah fahaman yang memaut makna pada yang tersurat hingga buta pada yang tersirat.
Berikut pesan Baginda:
Surah al-Kahfi!
Kita digesa Sunnah melaziminya.
Menghidupkan malam Jumaat pada membaca dan menekuninya.
Pastinya fungsi surah al-Kahfi pada menyelamatkan seorang manusia daripada fitnah Dajjal itu tidak berlaku hanya pada membaca dan menghafalnya. Sebaliknya, keterangan Sayyid Qutb berkenaan surah ini di dalam tafsir karangannya Fi Dhilal al-Quran, ada pencerahan:
Sayyid Qutb berpandangan, Surah al-Kahf itu bertindak sebagai pendinding manusia daripada fitnah Dajjal kerana ia menyentuh mekanisma perbuatan manusia.Jika diri kita diumpamakan seperti iceberg, tip of the iceberg yang kelihatan di mata itu mewakili perbuatan. Manakala bahagian ais yang besar tersembunyi di bawah permukaan air laut itu adalah enjin di sebalik setiap perbuatan kita iaitu AQIDAH (sistem kepercayaan), MINDSET (cara berfikir dan melihat sesuatu termasuk kehidupan, i.e worldview) dan SISTEM NILAI (cara manusia membuat penilaian terhadap apa yang benar, berharga, penting dan berguna dalam hidup ini).
Tiga komponen inilah yang mesti dibangunkan agar seorang Muslim itu menjadi Muslim yang benar-benar menghayati intipati agamanya, dan beroleh perlindungan daripada salah faham dan kecundang kepada fitnah intelektual yang diketuai oleh Dajjal dan jenteranya.
Seluruh wacana dan dakwah saya berkisar pada hal ini. Tetapi saya patah sebelah kaki pada memikirkan bagaimanakah semua ini boleh saya terapkan ke jiwa anak-anak. Jika John C. Maxwell berkata, “genius is about changing something complicated into simple“, hakikatnya saya masih belum cukup genius untuk memindahkan fikrah Islam dinamik ini kepada format yang boleh diserapkan ke jiwa anak-anak.
Saban hari saya berdoa.
Mencari panduan.
PENEMUAN PENTING
Allah melorongkan jawapan kepada doa saya itu apabila ditemukan dengan Khalifah Model School yang diasaskan oleh al-Marhum Prof. Dr. Muhammad al-Mahdi yang juga mengasaskan yayasan induknya, Khalifah Institute.
Alhamdulillah.
Membaca temuramah Majalah I dengan beliau pada Januari 2006, ia adalah pertemuan pertama saya dengan Prof. Dr. Muhammad.
Temuramah itu tidak begitu menjelaskan apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai Khalifah Method.
Justeru saya kurang tergerak untuk mendalaminya ketika itu.
Tetapi perjalanan hidup beliau sebagai seorang saintis di dalam pelbagai disiplin amat menarik perhatian saya. Bermula daripada fizik dengan Teori Relativiti Masa Einstein yang akhirnya menukar keyakinan beliau sebagai seorang atheist kepada meyakini wujudnya Tuhan. Setelah lama mendalami ilmu psikologi untuk memahami manusia, hingga mengatasi teori gurunya yang merupan ahli psikologi paling berpengaruh untuk kurun ke-20 iaitu Burrhus Frederic Skinner, Prof. meneruskan kembara di bidang Teologi untuk melengkapkan pencariannya.
Saya gementar membaca teori Skinner tentang pendidikan.
Teori itu sangat menjelaskan tentang mekanisma pembelajaran manusia dan ia amat efektif pada mencorakkan manusia untuk menjadi apa sahaja yang kita mahukan. Skinner menekankan bahawa positive reinforcement (penguatkuasaan secara positif) lebih berkuasa dalam mendidik berbanding punishment (menghukum) kerana melalui hukuman, manusia akan hanya belajar kaedah mengelak daripada dihukum.
Skinner berpendapat, ada lima halangan yang menghalang proses pembelajaran seseorang:
1. Manusia takut kepada kegagalan.
2. Tugasan yang diberi tidak dipecahkan kepada langkah-langkah kecil yang mencukupi.
3. Tiadanya arah tuju dan matlamat.
4. Arah tujuan yang ada pula tidak cukup jelas.
5. Ketiadaan penguatkuasaan positif (positive reinforcement).
Skinner memberikan pandangan bahawa apa-apa sahaja kemahiran yang mengikut kesesuaian tahap umur, boleh diajar dengan menggunakan lima prinsip sebagai rawatan kepada lima halangan itu tadi:
1. Berikan reaksi dan maklum balas kepada pelajar itu secara serta merta.
2. Pecahkan tugasan kepada langkah-langkah kecil yang mencukupi.
3. Ulangi soal arah dan matlamat seberapa kerap yang mungkin.
4. Laksanakan daripada sesuatu yang paling simpel kepada yang paling kompleks.
5. Memberikan penguatkuasaan positif (positive reinforcement).
Teori Skinner ini sangat meluas aplikasinya di Amerika Syarikat.
Tetapi Prof. Muhammad al-Mahdi setelah 40 tahun mendalami bidang psikologi, khuatir dengan teori Skinner yang sangat berpotensi untuk dimanipulasi keberkesanannya itu, mencari NILAI untuk dijadikan landasan teori Skinner. Beliau mengembara ke serata alam, mendalami agama HINDU dan BUDDHA tetapi kembara mencari Tuhan beliau, berakhir dengan Syahadah Laa Ilaaha Illallaah.
Beliau memeluk Islam. Kenalan di Indonesia mencadangkan nama Muhammad al-Mahdi kepadanya.
Lahirlah Khalifah Method, iaitu suatu teori pendidikan yang berjaya diterjemahkan menjadi satu sistem pendidikan apabila penemuan psikologi (Sunnatullah), disendikan oleh Islam sebagai Syariatnya.
Mungkin terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan tentang apa yang saya faham mengenai Metod Khalifah. Tetapi menerusi bengkel sehari anjuran Khalifah Model School untuk ibu bapa yang baru menghantar anaknya ke sekolah berkenaan, saya berasa tarikh 2 Januari 2010 semalam, adalah salah satu tarikh terpenting dalam hidup ini.
RUMUSAN RINGKAS
Kebijaksanaan tinggi Metod Khalifah adalah pada memudahkan aplikasi kepada kanak-kanak seawal usia sekolah rendah.
Pelajar ditanamkan kepercayaan tentang sebab untuk mereka sentiasa menjadi cemerlang iaitu pada menghayati maksud perlantikan Allah ke atas diri mereka sebagai Khalifah. Kesedaran tentang menjadi seorang khalifah menolak mereka untuk mengeluarkan potensi diri masing-masing ke tahap tertinggi. Menghayati maksud diri menjadi hamba Allah pula, menjadikan mereka sentiasa ‘bersama Allah’.
Metod Khalifah mengajar kanak-kanak tentang pengurusan tingkah laku melalui proses merasa daya intelektual. Murid-murid diajak dari semasa ke semasa menghayati proses kontemplasi (zikir dan fikir) untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Mereka melihat pokok, batu, kereta dan apa sahaja yang ada di sekeliling kehidupan dan memikirkan mengenainya proses kejadiannya hingga sampai kepada Allah.
Saya juga teruja dengan teknik yang digunakan oleh Metod Khalifah pada mendidik murid-murid menggunakan freewill (kebebasan memilih) masing-masing. Mereka diajar tentang kewujudan freewill sebagai kebebasan yang dimiliki oleh setiap manusia merdeka, tetapi freewill itu dibentuk agar sentiasa menjadikan Allah sebagai paksi membuat pilihan dalam kehidupan.
Ia sangat selaras dengan istilah Mendidik Anak Dengan Ilmu Kebal yang pernah saya tulis sebelum ini.
Metod Khalifah juga mendidik pelajar dan ibu bapa menggunakan kata hati atau internal monologue. Manusia lebih banyak berkata-kata kepada dirinya berbanding berkata-kata dengan orang lain. Positif atau negatifnya seseorang itu banyak merujuk kepada apa kata-kata hatinya. Mempositifkan kata hati ini sangat berkesan pada membantu menukar seorang insan yang pesimis kepada optimis, positif dan mempunyai mekanisma koreksi diri sendiri yang sangat berkuasa pada menghidupkan iman di dalam diri kita.
Teknik yang diguna pakai oleh Metod Khalifah membantu murid-murid mengesan kewujudannya di dalam diri dan seterusnya memperbaiki fikiran mereka agar positif dan bermotivasi dalam kehidupan.
PEMBABITAN IBU BAPA
Apa yang lebih saya hargai ialah pada kesungguhan pihak Khalifah Model School mengkursuskan ibu bapa agar metod yang diguna pakai, turut dilaksanakan secara holistik di rumah. Ia adalah sebuah metod yang membantu ibu bapa menbentuk anak-anak dan dalam masa yang sama membantu anak-anak membentuk ibu bapa!
Melalui kursus keibubapaan wajib yang dilaksanakan oleh pihak sekolah, ibu bapa dibetulkan pandangan alam mereka, diperkenalkan dengan Law of Learning dan seterusnya diberi latihan untuk mengaplikasikan Positive Reinforcement di dalam kehidupan seharian.
Ibu bapa juga sangat dilibatkan dengan sekolah sebagai sukarelawan. Mereka boleh memberikan ceramah perkongsian kerjaya kepada anak murid, dan membantu apa sahaja sesuai dengan konsep sekolah komuniti yang dimahukan oleh al-Marhum Prof, sebagai pengasasnya.
BUKAN BENDA BARU
Segalanya bukan benda baru. Tetapi ia adalah rumusan kepada sari pati ajaran al-Quran dan al-Sunnah pada mengatur Sunnatullah dalam proses membentuk manusia. Lebih mengujakan saya, kecemerlangan akademik turut mengiringi pendekatan ini secara by-product, Insya Allah.
Pelaburan saya ialah pada menghantar Muhammad Saiful Islam, dan Insya Allah juga adik-adiknya nanti ke sekolah berkenaan. Saya juga meletakkan azam untuk mendalami Metod Khalifah dengan lebih terpeinci lagi agar ia boleh disebar luaskan sebagai solusi kepada pendidikan anak Ummah, Insya Allah.
Saya sudah tidak lagi cemburu dengan Laskar Pelangi!
Monday, January 11, 2010
Metod Khalifah Adalah Laskar Pelangiku...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment