Thursday, January 7, 2010

Mahar Hantaran : Adat vs Ibadat...

“Jangan nak mengada-ngada, kalau hendak kahwin tunggu dia habis belajar, ada rumah, ada kerja, dan ada kereta. Kalau tak, selagi tu jangan harap mahu kahwin” Meleter si ibu kepada anak daranya yang sudah sampai masa mendirikan rumahtangga..

“Hantaran kena sembilan dulang, RM1000 serba satu. Kenduri buat di hotel lima bintang, siap dengan siaran eksklusif dari tv10” Ayat-ayat yang biasa didengar.

Tergaman dibuatnya.

Masyarakat kita sekarang terbelenggu dengan masalah suka mengubah sesuatu ibadah menjadi adat dan budaya yang mendarah-daging. Kadang-kadang sesuatu yang mudah pada asalnya, tiba-tiba menyulitkan keadaan yang mana melahirkan banyak kesan samping yang membimbangkan.

Isunya yang diutarakan, ibu bapa sanggup menjual anak perempuan semata-mata kerana keadaan sekeliling memaksa bukannya menitikberatkan keperluan syari‘at tersebut. Yang hendak kahwin si anak, banyak pula karenah ‘birokrasi’ daripada ibu bapa.

Hikmahnya ditinggalkan.

Apabila acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Si ibu memohon mahar yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.

Di Malaysia, mahar (mas kahwin) rasanya tidak susah nak dipenuhi. Tapi hantaran yang boleh buat turun berat badan kerana terpaksa mengikat perut. Daripada pengalaman melihat dan mendengar, kadangkala harga hantaran diletak tinggi dengan sengaja bukan kerana keperluan tetapi sindrom ‘segan’ kepada orang sekeliling.

Bagai terlupa perkahwinan bukan satu hari hanya di hari kenduri sahaja, tapi sampai detik nyawa terpisah daripada jasad, semua ini dipandang remeh. Kehidupan selepas kahwin juga memerlukan akaun kewangan kukuh.

JANGAN ADATKAN IBADAT

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui” an-Nur (24:32)

Bagi wanita yang mempunyai kesedaran dan mampu mempertahankan prinsip ajaran sabda Nabi s.a.w maka perlulah buktikan bahawa mereka mampu melawan adat.

Sayang sekali, kita asyik ulang kalimah melawan arus adat, tetapi jarang kita ambil pegangan mengikut pegangan agama. Mahar yang sedikit bukan merendahkan martabat, malah meninggikan martabat seseorang wanita di sisi agama.

Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang didapati sehari demi sehari sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar isteri. Urusan tambahan hadiah dan wang hantaran yang membebankan pihak lelaki yang menyediakan dan juga pihak wanita yang menunggu perlu ditangani.

0 comments: